Tuesday, 16 August 2011

KASUT KELOPAK JANTUNG


SINOPSIS
Cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu sewakta beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah walaupun sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula. Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun kerana tidak membawa pakaian sukan. Oleh sebab itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”. Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah demi keselamatan kakinya. Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah supaya kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah. Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain. Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar dengan gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.

TEMA
Penghargaan seorang murid terhadap jasa guru yang ikhlas membantunya sewaktu murid itu miskin dengan menekankannya kepentingan memakai kasut.

PERSOALAN
1. Ketegasan guru di sekolah demi mendisiplinkan pelajar.
Buktiya, Cikgu Harun yang tegas menyebabkan Ahmad takut untuk merenung wajahnya tepat-tapat. Selain itu, Ahmad dimarahi Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakaian sukan.
2. Keprihatinan guru terhadap masalah murid.
Buktinya, Cikgu Harun yang prihatin akan kemiskinan keluarga Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah.
3. Keikhlasan murid membalas jasa guru.
Buktinya, walaupun Ahmad sudah besar dan berjawatan tinggi, namun dia tetapi mengingati jasa Cikgu Harun dengan menghadiahinya sepasang kasut pada setiap Hari Guru.
4. Kepentingan memakai kasut di sekolah.
Buktinya, Cikgu Harun tegas memastikan pelajar memakai kasut supaya muridnya tidak mengalami kecederaan kaki.
5. Penghargaan murid terhadap jasa guru.
Buktinya, setiap Hari Guru, Cikgu Harun akan menerima hadiah berupa kasut berjenama mahal daripada anak muridnya yang mengingati jasa gurunya itu walaupun sudah 30 tahun berlalu.



WATAK DAN PERWATAKAN
CIKGU HARUN
Cikgu Harun sudah bersara daripada pekerjaan guru. Beliau pernah mengajar di kawasan pedalaman 30 tahun yang lalu. Dia yang prihatin akan kebajikan murid telah menghadiahkan sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut kepada Ahmad. Beliau yang pernah bertegas dengan anak muridnya itu mendapat balasan baik daripada anak muridnya yang menghadiahinya sepasang kasut berjenama mahal pada setiap sambutan Hari Guru.
AHMAD
Ahmad merupakan seorang murid miskin yang tinggal di hujung kampung, kawasan pedalaman. Dia terpaksa mengambil upah memetik cili hanya untuk mengumpulkan wang demi membeli kasut sekolah lantaran ibunya yang tua dan uzur. Ahmad tidak pernah ponteng sekolah malah sentiasa mengikut arahan gurunya, Cikgu Harun. Walaupun Cikgu Harun mengarahkannya memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang, dia tetap menurut perintah tersebut. Ahmad akhirnya menjadi seorang yang berjawatan tinggi di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar masih mengingati jasa gurunya dengan menghadiahi Cikgu Harun sepasang kasut pada Hari Guru.

IBU AHMAD
Ibu Ahmad seorang wanita separuh umur yang sudah uzur. Dia tinggal bersama anaknya, Ahmad di sebuah pondok usang di hujung kampung. Walaupun miskin harta, ibu Ahmad amat menghormati tetamu kerana menjemput Cikgu Harun masuk ke rumah sementara menunggu Ahmad pulang ke rumah. Ibu Ahmad tidak bekerja lagi kerana sudah uzur. Oleh sebab itu, Ahmad terpaksa mengambil upah memetik cili demi menampung perbelanjaan keluarga di samping membeli kasut sekolah.

PLOT
PERMULAAN
1. Pada 16 Mei, Hari Guru, Cikgu Harun menerima sebungkus hadiah yang tidak dipos.
2. Cikgu Harus tahu benar pengirim hadiah itu dan bertanya kepada diri sendiri sama akan hadiah itu dihantar dengan ikhlas atau sindir atau kedua-duanya.

PERKEMBANGAN
1. Cikgu Harun mengingati peristiwa yang telah berlaku 30 tahun yang lalu apabila menerima bungkusan hadiah daripada salah seorang anak muridnya.
2. Cikgu Harun masih ingat bahawa dia pernah menegur Ahmad kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakakian sukan ke sekolah.
3. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang.
4. Ahmad berasa malu dan sedih. Dia terasa seperti disindir oleh Cikgu Harun dan banyak murid yang mengetawakannya.

PERUMITAN
1. Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu.
2. Kawan Ahmad menyampaikan khabar bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.
3. Cikgu Harun tersentuh dan berasa menyesal atas tindakannya mendenda Ahmad.
4. Cikgu Harun mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad dan mendapati ibunya sudah uzur dan Ahmad bekerja sebagai pemetik cili untuk menampung kehidupan keluarga.

PUNCAK
1. Ahmad memberitahu punca sebenar dia tidak ke sekolah, yakni tidak mampu membeli kasut sekolah sebagaimana yang diarahkan oleh Cikgu Harun.
2. Cikgu Harun membuat keputusan untuk membelikannya sepasang kasut sekolah baharu dan sepasang pakaian sekolah baharu serta mengarahkan Ahmad supaya kembali ke sekolah.
3. Ahmad hanya mampu mengucapkan terima kasih atas bantuan Cikgu Harun.
PELERAIAN
1. Cikgu Harun sudah bersara tetapi jasanya tetap dikenang oleh Ahmad.
2. Ahmad menghadiahi Cikgu Harun sepasang kasut berjenama pada setiap Hari Guru.
3. Cikgu Harun sedar bahawa hadiah itu diberikan oleh Ahmad dengan hati yang ikhlas sebagaimana ditulis dalam surat yang disertai bersama bungkusan kasut itu. Amad sudah berjaya menjawat jawatan tinggi.

TEKNIK PLOT
1. Dialog – pertuturan antara watak yang dapat menghidupkan cerita.
Bukti: “Ahmad, mana kasut?” tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras.

2. Monolog – watak bercakap sendiri tanpa didengar atau disedari oleh sesiapa.
Bukti: “Jauh juga rumah Ahmad,” bisik hati kecil Cikgu Harun.

3. Monolog dalaman – kata-kata seseorang watak di dalam hati yang tidak diketahui oleh sesiapa.
Bukti: Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-murid berhenti sekolah. Jika tidak ada murid, dari mana datangnya kerjaya seorang guru. Murid dan guru itu saling melengkapi. Kini, seorang murid hendak berhenti sekolah. Jika itu terjadi, negara akan kehilangan seorang warga yang berpendidikan. Cikgu Harun mula disapa penyesalan yang bukan sedikit ketika itu.

4. Kejutan – peristiwa yang tidak disangka-sangka oleh pembaca.
Bukti: Ahmad terkejut dengan kehadiran Cikgu Harun di rumahnya dan Cikgu Harun terkejut melihat Ahmad masih memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang yang didenda oleh Cikgu Harun.

5. Saspens – peristiwa yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pembaca
Bukti: Besok, tempat duduk Ahmad kosong. Cikgu Harun sedar bahawa Ahmad tidak datang. Selama ini, Ahmad tidak pernah ponteng sekolah. Dia rajin ke sekolah walaupun terpaksa berjalan tanpa kasut.
Hari berikutnya juga Ahmad tidak datang. Hari selepasnya pun begitu. Kini, seminggu sudah Ahmad tidak hadir. Cikgu Harun berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia cuba mendapatkan maklumat daripada murid-murid yang lain.

6. Pemerian – gambaran suasana atau keadaan oleh penulis.
Bukti: Sebaik sahaja sampai si sebuah rumah, tidak ada penghuni dilihat oleh Cikgu Harun dalam rumah yang layak disebut pondok itu. Cikgu Harun memandang sekeliling. Suasana sepi sekali. Dia pasti itulah rumah Ahmad seperti yang diberitahu oleh anak-anak muridnya yang lain.

7. Imbas kembali – teknik watak mengingati peristiwa yang sudah berlaku.
Bukti: Cikgu Harun mengingati peristiwa yang sudah berlaku lebih 30 tahun, kejadian beliau mendenda anak muridnya memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang

LATAR TEMPAT
1. Rumah Cikgu Harun di bandar
Bukti: Cikgu Harun menerima bungkusan kasut baharu di rumahnya.

2. Kawasan pedalaman
Bukti: Cikgu Harun pernah bekerja sebagai guru di kawasan pedalaman lebih tiga puluh tahun yang lalu.

3. Bilik darjah
Bukti: Cikgu Harun pernah menegur Ahmad kerana tidak berkasut ke sekolah. Selain itu, Cikgu Harun juga bertanya kepada pelajar-pelajarnya tentang sebab Ahmad tidak hadir ke sekolah.
4. Padang sekolah
Bukti: Di kawasan padang, murid-murid melakukan aktiviti sukan dan bersenam kecuali Ahmad. Di situlah juga Ahmad didenda memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang.

5. Rumah Ahmad
Bukti: Cikgu Harun pergi ke rumah Ahmad untuk menjenguknya dan mengenal pasti sebab dia tidak hadir ke sekolah.

6. Kebun sayur
Bukti: Ahmad bekerja sebagai pemetik cili di kebun sayur untuk menampung perbelanjaan keluarga.

7. Pekan
Bukti: Cikgu Harun pergi ke pekan untuk membeli sepasang kasut sekolah baharu dan sepasang uniform sekolah baharu kepada Ahmad supaya dia dapat ke sekolah semula.

LATAR MASA
1. Zaman moden
Bukti: Cikgu Harun sudah bersara dan tinggal di bandar pada zaman moden ini. Selain itu, Ahmad sudah menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka.

2. 30 tahun yang lalu
Bukti: Cikgu Harun masih ingat bahawa dia pernah menegur Ahmad kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakakian sukan ke sekolah. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang. Ahmad berasa malu dan sedih. Dia terasa seperti disindir oleh Cikgu Harun dan banyak murid yang mengetawakannya.

3. Tempoh seminggu
Bukti: Selepas didenda oleh Cikgu Harun, Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu dan kawannya memberitahu Cikgu Harun bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.

4. Waktu pagi tiga minggu selepas sekolah dibuka
Bukti: Ahmad dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah dan tidak membawa pakaian sukan untuk aktiviti pendidikan jasmani di padang.

5. Suatu petang selepas seminggu Ahmad tidak hadir ke sekolah.
Bukti: Cikgu harun pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab dia mahu berhenti sekolah.

6. 16 Mei
Bukti: Cikgu Harun mendapat hadiah berjenama mahal daripada muridnya setiap sambutan Hari Guru.

7. Selepas sekolah tamat / tengah hari
Bukti: Ahmad yang malu selepas didenda memakai kasut kelopak jantung telah lari ke rumah.

LATAR MASYARAKAT
1. Masyarakat guru
Bukti: Cikgu Harun yang sudah bersara mengingati peritiwa yang berlaku lebih 30 tahun yang lalu.

2. Masyarakat pelajar
Bukti: Ahmad merupakan pelajar sekolah yang belajar dalam tahun tiga di kawasan pedalaman. Dia pernah dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut ke sekolah dan tidak membawa pakaian sukan.
3. Masyarakat miskin
Bukti: Ahmad dan ibunya tinggal di sebuah pondok kecil kerana hidup dalam kesederhaan. Lagipun, Ahmad terpaksa mengambil upah memetik cili dalam usia yang muda.

4. Masyarakat yang mengenang jasa guru
Bukti: Ahmad seorang murid yang amat mengenang jasa Cikgu Harun. Setiap kali sambutan Hari Guru, dia akan menghantar bungkusan berisi kasut berjenama mahal untuk dihadiahkan kepada Cikgu Harun. Hal ini membuktikan bahawa dia amat menghargai jasa gurunya walaupun sudah berjaya dalam kehidupan.

5. Masyarakat yang tabah menghadapi kemiskinan
Bukti: keluarga Ahmad tabah menghadapi kemiskinan hidup. Dia dan ibunya tinggal di sebuah pondok di hujung kampung.

GAYA BAHASA
1. Paradoks – gabungan antara unsur positif dan negatif dalam satu ayat.
Bukti: Atau sindiran dan keikhlasan yang telah bergumpal menjadi satu.

2. Penggunaan ayat yang ringkas dan pendek.
Bukti: Soalan itu bukan yang pertama.
Waktu rehat Ahmad tidak keluar.
Dia tidak bercakap banyak.
Dia telah pun menduga.

3. Simile – unsur perbandingan secara langsung oleh penulis.
Bukti: -Suara anak kecil itu tidak mahu keluar bagai ada sesuatu yang tersengkang pada batang tenggoraknya.
-Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung.
-Ahmad memandang kosong ke wajah Cikgu Harun seperti mahu meminta sesuatu.
-Selepas sebelah, sebelah lagi dipasangkan seperti memakai kasut sekolah.
-Kadang-kadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul.
-Ahmad berjalan macam lembu sakit kaki.
-Terasa ketika itu kasutnya macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar najis. Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan kaki tiang rumahnya yang usang. Malah Ahmad terasa dirinya seperti tidak berkaki langsung.

4. Peribahasa – ungkapan menarik yang digunakan oleh pengarang
Buktinya: berkaki ayam, budak hingusan, lurus bendul, angkat muka, berkecil hati, dan separuh umur.

5. Personifikasi – penggunaan unsur kemanusiaan dalam unsur bukan manusia.
Bukti: Rasa bersalah mula mengerang perasaannya.

6. Sinkof – penggunaan singkatan kata
Buktinya: tak, dah, nak, ni

7. Repitasi – pengulangan kata.
Bukti: Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-murid berhenti sekolah.

8. Gaya bahasa dialog
Bukti: “Ahmad, mana kasut?” tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras.
NILAI MURNI DAN PENGAJARAN
1. Nilai murni à Menghormati orang yang lebih tua
Pengajaran : Kita mestilah menghormati orang yang lebih tua dan yang lebih berpengalaman daripada kita.
Bukti: Ahmad amat menghormati Cikgu Harun dan tidak pernah mengingkari arahannya.

2. Nilai murni -Keinsafan
Pengajaran : Kita mestilah sedar akan kesilapan yang kita lakukan supaya tidak mengulanginya.
Bukti: Cikgu Harun sedar bahawa dendanya agak keterlaluan dan dia tersentuh dengan keputusan Ahmad yang mahu berhenti sekolah kerana tidak mampu membeli kasut sekolah.

3. Nilai muri -Keikhlasan
Pengajaran : Kita mestilah ikhlas semasa memberikan hadiah kepada seseorang.
Bukti: Cikgu Harun tahu bahawa anak muridnya, Ahmad ikhlas memberikannya hadiah berupa sepasang kasut berjenama demi menghargai jasa gurunya.

4. Nilai muri -Ketabahan
Pengajaran :Kita mestilah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri.
Bukti: Ahmad dan ibunya tabah menghadapi kemiskinan dan dia sanggup mengambil keputusan untuk berhenti sekolah demi bekerja memetik cili untuk menampung perbelanjaan keluarga.

5. Nilai muri -Kesabaran
Pengajaran : Kita mestilah sabar menghadapi segala masalah dalam kehidupan.
Bukti: Cikgu Harun sabar menghadapi masalah anak muridnya, Ahmad yang tidak membawa kasut dan pakaian sukan.

6. Nilai muri -Kegigihan
Pengajaran : Kita mestilah gigih belajar supaya menjadi manusia yang berjaya.
Bukti: Ahmad gigih belajar tidak pernah ponteng sekolah walaupun miskin sehingga berjaya menjadi seorang pengurus besar syarikat kasut berjenama.

7. Nilai muri -Bertanggungjawab
Pengajaran :Kita mestilah memikul tugasan yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.
Bukti: Cikgu Harun seorang guru yang bertanggungjawab kerana dia memastikan semua anak muridnya memakai pakaian sekolah yang sesuai untuk menjalankan aktiviti bersenam di padang.

8. Nilai muri -Kesungguhan
Pengajaran : Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh demi mengubah kehidupan keluarga yang miskin.
Bukti: Ahmad belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjawat jawatan tinggi dalam sebuah syarikat kasut berjenama.

9. Nilai muri -Baik hati
Pengajaran : Kita mestilah menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukannya mengikut kemampuan kita demi mengurangkan beban mereka.
Bukti: Cikgu Harun membelikan Ahmad sepasang kasut sekolah dan sepasang uniform sekolah.

No comments:

Post a Comment